"Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidaklah seseorang hamba yang mudah memberi maaf melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Tidaklah seseorang bertawaduk kerana Allah melainkan Allah akan meninggikan darjatnya" (Muslim no.2588)
Sedekah yang berlari atau sedekah yang berterusan adalah istilah yang digunakan dalam hadis, seperti kata Nabi:
إذا مات الإنسانُ انقطع عنه عملُه إلا من ثلاثةٍ : إلا من صدقةٍ جاريةٍ ، أو علمٍ ينتفعُ به ، أو ولدٍ صالحٍ يدعو له
Apabila insan itu mati, terputus daripadanya amalannya melainkan daripada tiga: melainkan daripada sedekah yang berlari, atau ilmu yang diambil manfa`at dengannya, atau anak salih yang mendoakan baginya[Muslim/ 1631]
Istilah ini sebenarnya bermakna sedekah yang mendatangkan pahala mencurah-curah berterusan kepada pelakunya, atau sedekah yang berterusan ganjarannya.
Memberi sumbangan RM 10 kepada sebuah surau, maka balasannya ialah ganjaran sedekah, dan ini tidak termasuk dalam hadis sedekah yang berterusan di atas, tetapi ia lebih baik daripada menjadi bakhil.
Memberi makan seorang anak yatim, maka balasannya ialah ganjaran sedekah, dan ini tidak termasuk dalam hadis sedekah yang berterusan di atas, tetapi ia lebih baik daripada menjadi kikir.
Sebaliknya, sedekah yang berterusan ialah sesuatu yang memberikan manfa`at sama ada kepada manusia atau haiwan secara berpanjangan dan berterusan.
Seseorang yang menanam sebatang pokok, dia telah melakukan sedekah yang berterusan, selagi pokok itu hidup dan memberikan manfa`at kepada manusia atau haiwan. Kata Nabi:
ما مِن مُسلِمٍ غَرسَ غرسًا ، فأَكلَ منهُ إنسانٌ أو دابَّةٌ ، إلَّا كانَ لَه صَدَقةٌ
Tidaklah seseorang daripada muslim yang menanam suatu tanaman, maka dimakan daripadanya insan atau haiwan, melainkan ia baginya adalah sedekah [Al-Bukhariy/ 6012]
Hadis ini diterangkan lagi dengan hadis berikut:
ما من مسلم يَغْرِسُ غرسًا إلا كان ما أُكِلَ مِنهُ له صدقةً ، وما سُرقَ له منه صدقةٌ ، وما أكل السَّبُعُ منه فهو له صدقةٌ ، وما أكلتِ الطيرُ فهو له صدقةٌ ، ولا يَرْزَؤُهُ أَحَدٌ إلا كان له صدقةٌ
Tidaklah seseorang daripada muslim yang menanam suatu tanaman melainkan apa yang dimakan daripadanya, baginya adalah sedekah. Dan apa yang dicuri, baginya daripadanya adalah sedekah Dan apa yang dimakan binatang liar daripadanya, maka ia baginya adalah sedekah Dan apa yang dimakan burung, maka ia baginya adalah sedekah Dan tidaklah seseorang mengambil daripadanya, melainkan ia baginya adalah sedekah [Muslim/ 1552]
Justeru, seseorang yang mahukan ganjaran daripada Allah walaupun setelah kematiannya hendaklah melabur dalam sesuatu yang boleh memberikan manfa`at kepada manusia, binatang liar mahupun burung-burung. Para sahabat telah bertanya kepada Nabi:
يا رسولَ اللهِ، وإن لنا في البهائم أجرًا ؟ قال : في كلِّ كبدٍ رطبةٍ أجرٌ
Ya Rasula Llah, dan adakah bagi kami pada binatang-binatang liar itu ganjaran? Dia berkata: Pada setiap hati segar terdapat ganjaran [Al-Bukhariy/ 2363]
Nota: Maknanya ialah pada setiap benda hidup – manusia atau haiwan – yang mempunyaï hati yang segar, yang hidup.
Maka bagi yang mampu menanam pokok, tanamlah pokok yang dapat memberi manfa`at, sama ada daripada buahnya yang dimakan, atau bayangnya yang menjadi tuduhan, atau bau wanginya yang menyegarkan, dan rebutlah ganjaran yang berterusan.
Bagi yang mampu membina jambatan, atau balai raya, atau tandas, atau perhentian bas, atau bangku tempat duduk, maka selagi binaannya itu memberikan manfa`at, dia akan mendapat ganjaran yang berterusan.
Bagi yang mewaqafkan buku, atau kitab, atau Al-Qur’an, selagi ia dibaca, maka dia akan mendapat ganjaran yang berterusan, melainkan buku, atau kitab, atau Al-Qur’an itu terperap di dalam almari dan tidak lagi dimanfa`atkan, maka ganjarannya akan terhenti di situ.
Jika tidak mampu, maka berusahalah bersedekah semasa hidup dengan melakukan atau memberikan kebaikan. Kata Nabi:
كلُّ مَعروفٍ صَدَقةٌSetiap kebaikan adalah sedekah [Al-Bukhariy/ 6021]
Maka setiap umat Islam hendaklah berlumba-lumba melakukan perkara kebaikan – yang memberikan manfa`at kepada manusia dan haiwan – dan menjauhi apa yang mendatangkan keburukan, kejahatan atau kemusnahan, sehingga benarlah Kata Allah:
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
Kamulah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia: kamu menyuruh dengan kebaikan, dan kamu mencegah daripada kemunkaran, dan kamu beriman dengan Allah [Ali `Imran: 110]
WaLlahu a`lam.