26 Jun 2010

PENILAIAN SEMULA AMALAN-AMALAN DI BULAN REJAB – SAHIHKAH IA?

Allah swt telah mengutuskan para rasul dan menurunkan kitab-kitabnya serta menyediakan batas-batas arahan dan larangan atau boleh juga disebut sebagai syariat kepada manusia. Ini semua bertujuan tidak lain dan tidak bukan supaya manusia itu mengabdikan diri serta mentauhidkan Allah swt di dalam semua keadaan dan tingkah lakunya. Malah, inilah tujuan utama penciptaan makhluk seperti mana yang ditegaskan oleh Allah swt di dalam firmannya yang bermaksud:

"Dan tidak Aku ciptakan jin dam manusia itu kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku". (Surah al-Zaariyat: ayat 56).

Suatu perkara yang penting dan perlu untuk diberikan perhatian bahawa segala bentuk ibadah ini tidak akan diterima oleh Allah swt melainkan jika ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada Allah swt serta menepati dengan cara yang dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah saw. Maka sebarang bentuk ibadah yang tidak memenuhi dua syarat ini, ianya tidak akan diterima oleh Allah swt apatah lagi untuk diberikan ganjaran. Allah swt berfirman yang bermaksud:

"Maka barangsiapa yang percaya dan mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia melakukan amalan soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapa pun di dalam ibadah kepada Tuhannya". (Surah al-Kahfi: ayat 110).

Al-Imam Ibn Kathir (w 774 H) di dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: ((Barangsiapa yang mengharapkan ganjaran serta balasan yang baik hendaklah ia melakukan amalan yang bertepatan dengan syariat Allah, dan hanya kerana Allah (ikhlas) serta tidak ada sekutu bagi-Nya, dan inilah dua rukun untuk diterima segala amalan, iaitu mesti dilakukan dengan ikhlas kepada Allah dan menepati dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw)). (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (Dimashq: Maktabah Dar al-Fiha’, cetakan ke-2, 1998), jilid 3, m/s 147).

Hal ini dikuatkan lagi dengan pendapat para ulamak, antaranya al-Fudhail bin ‘Iyadh r.h dalam kata-katanya: Sesungguhnya amalan yang dilakukan dengan penuh keikhlasan tetapi tidak betul maka ianya tidak akan diterima, dan jika dilakukan dengan betul tetapi tidak ikhlas, ianya juga tidak diterima, sehinggalah ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan dan betul. Dan ikhlas itu ialah apabila dilakukan hanya kerana Allah ‘Azza wa Jalla, dan betul itu pula ialah apabila dilakukan menepati sunnah Rasulullah saw. (Ibn Rejab al-Hanbali, Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, (Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyah, cetakan ke-3, 2000), m/s 15).

Bulan Rejab dan amalan yang dilakukan di dalamnya

Bulan Rejab adalah antara salah satu bulan yang termasuk di dalam bulan-bulan yang suci. Dinamakan dengan Rejab bersempena dengan penghormatan terhadapnya di zaman jahiliyyah dengan tidak melakukan sebarang peperangan di dalam bulan ini. (Al-Razi, Mukhtar al-Sihah (Bierut: Muassah al-Risalah, 2001), m/s 215)

Telah menjadi amalan kebanyakan umat Islam untuk menghidupkan bulan ini dengan pelbagai amalan. Persoalannya, adakah amalan-amalan tersebut dilakukan dengan ikhlas dan menepati sunnah Rasulullah saw untuk melayakkan amalan tersebut diterima? Menyentuh tentang persoalan ikhlas, kemungkinan semua orang memilikinya, tetapi adakah amalan tersebut bertepatan dengan syariat dan sunnah Rasulullah saw. Justeru, menjadi kewajipan ke atas umat Islam untuk menyemak dan memastikan segala amalan yang dilakukannya itu bertepatan dengan syariat dan sama dengan cara yang dilakukan oleh Rasulullah saw.

Antara amalan-amalan yang dilakukan oleh umat Islam dalam bulan Rejab ini yang tidak menepati sunnah Rasulullah saw ialah:

1 - Menghidupkan malam ke-27, dan dinamakan dengan malam al-Isra’ wa al-Mi’raj.

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj merupakan salah satu daripada peristiwa besar dan penting di dalam sejarah Islam. Ianya bukti kepada kebesaran Allah swt dan kebenaran Nabi Muhamad saw serta risalah yang dibawa oleh Baginda. Tersebar luas di kalangan umat Islam bahawa peristiwa agung ini berlaku di malam dua puluh tujuh di bulan Rejab. Maka sebahagian besar umat Islam menyambut dan menghidupkan malam ini dengan amalan-amalan yang khusus dengan mengharapkan fadhilat-fadhilat tertentu. Tetapi pendapat ini adalah tidak tepat sepertimana yang disebut oleh Syiekh Abdullah bin Abd al-Aziz bin Baz: Dan malam ini yang dikatakan berlaku padanya peristiwa al-Isra’ wa al-Mi’raj, tidak ada satu hadith sahih pun yang menyebut tentang tarikh peristiwa ini secara khusus, dan semua pendapat yang menyebut tentang tarikh berlakunya peristiwa ini secara khusus adalah tidak thabit daripada Rasulullah saw di sisi ulamak hadith, dan kepada Allah jualah diserahkan segala hikmah disebalik kerahsiaan ini kepada manusia, dan walau sekiranya terdapat hadith sahih yang menjelaskan tentang perkara ini, tetap juga tidak dibenarkan umat Islam untuk menghidupkan malam ini dengan amalan-amalan yang khusus, serta tidak harus untuk menghidupkannya dengan sebarang perayaan kerana Rasulullah saw dan para sahabat r.a tidak pernah merayakannya dan tidak melakukan sebarang amalan yang khusus. Sekiranya menghidupkan atau merayakan malam ke-27 ini amalan yang disyariatkan, semestinya Nabi saw akan menunjukan panduannya sama ada dengan kata-kata atau perbuatannya, dan sekiranya amalan ini pernah dilakukan oleh Baginda saw, semestinya akan diketahui dan masyhur serta akan disampaikan oleh para sahabat ra kepada kita.

Baca selanjutnya......
Bookmark and Share